HARI KECEMERLANGAN 2009

19 November 2009: Kecemerlangan murid-murid SKUB diraikan dalam Hari Kecemerlangan 2009 yang mana ia diadakan buat pertama kalinya di bangunan kelas sementara yang baru siap dibina. Hampir kesemua penjaga hadir untuk menyaksikan anak-anak mereka menerima hadiah atau anugerah. Tetamu jemputan yang hadir pada majlis tersebut ialah wakil YB Samad Ibrahim selaku perasmi, wakil PPD Kuala Pilah, Tuan Imam Masjid Ulu Bendul, Ketua Balai Polis Terachi, Pengerusi JKKK, YDP dan Timbalan YDP PIBG SK Ulu Bendul. Antara kategori anugerah yang disediakan ialah anugerah Kurikulum Terbaik, Matapelajaran Terbaik, Kehadiran Penuh dan Kelas Agama Petang. Manakala Anugerah Pelajar Terbaik bagi lelaki telah dimenangi oleh adik Mohd Azizul Roslan dan Nor Atiqah Azra Zainal Abidin bagi kategori perempuan. Mereka dipilih berdasarkan penilaian yang dibuat oleh guru-guru dari aspek pencapaian akademik, sahsiah dan penglibatan aktif dalam ko-kurikulum. Majlis ini juga turut diserikan dengan persembahan tayangan multimedia, sketsa adat persandingan orang melayu oleh murid pra-sekolah dan persembahan silap mata oleh Sdr. Hanafi Zainal Abidin. Semoga murid-murid SKUB akan terus menggapai kecemerlangan pada masa-masa akan datang, insya Allah.

Persembahan multimedia selepas perasmian oleh wakil YB DUN Seri Menanti.


Sketsa adat istiadat persandingan orang melayu. "Hai YDP, cepat dapat menantu? ;-D "

Penyampaian hadiah pada murid-murid yang cemerlang.

SEMOGA BERJAYA ANAK-ANAK MURIDKU!

2 November 2009: PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2009 bermula pada hari ini. Semoga semua murid SKUB akan mencuba sedaya upaya dan melakukan yang terbaik dalam menghadapinya. Mulakanlah dengan usaha, iringi dengan doa dan akhirilah dengan kejayaan. Kecemerlangan anda, kebanggaan kami!

SEJATI: MEMBINA JATI DIRI INSAN BERPERIBADI

30 Oktober 2009: KEM SEJATI (Semai Jati Diri) yang diadakan baru-baru ini di Hutan Lipur Ulu Bendul telah memberikan impak yang sangat positif terhadap para guru, staf sokongan dan murid SKUB. Program yang julung kali diadakan di luar sekolah ini telah membuktikan komitmen dan kesungguhan setiap individu dalam menjayakannya. Program ini melibatkan 40 peserta dari tahun 3 hingga 5. Dengan tema "Semaian Murni, Insan Bestari" Kem SEJATI diadakan bertujuan untuk membentuk jati diri murid-murid SKUB yang positif seperti kepemimpinan, kerja berpasukan, sikap bertolak ansur, rela berkorban dan berani mencuba. Kesemua nilai murni ini merupakan pra syarat kepada para peserta untuk menjadi insan yang cemerlang. Sekalung penghargaan diucapkan kepada AJK PIBG, ibu bapa, guru-guru, staf sokongan dan YB Tuan Abdul Samad Ibrahim (ADUN Seri Menanti) yang telah sudi hadir bagi merasmikan penutupan Kem SEJATI dan bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada sekolah dalam memantapkan prestasi SKUB. Moga bertemu lagi di Kem SEJATI Edisi seterusnya!

Cikgu Mazlan selaku Penyelaras program sedang memberikan kata-kata perangsang kepada para peserta Kem SEJATI.

Acara "Segar Jasad dan Minda" setelah penat merentas halangan.

Para peserta membuat persembahan pada malam kebudayaan.

Setiap kumpulan dikehendaki menyediakan sandwich terhebat untuk dinilai oleh juri-juri.

Bersedia untuk menerima amanat terakhir sebelum program bersurai.

YB Tn Abdul Samad Ibrahim sedang menyampaikan amanat dan merasmikan penutupan Kem SEJATI Edisi 1/2009.

Cikgu Suhaimi menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil setiap kumpulan.

Peserta bergambar kenangan bersama guru-guru dan para tetamu jemputan.

KEM IMAN 1430: IBADAH CEMERLANG, INSAN GEMILANG

9 Oktober 2009: Satu program kem ibadah yang dikenali sebagi Kem IMAN 1430 (Kem Ibadah Mantap) telah diadakan selama dua hari satu malam pada 9 dan 10 Oktober 2009 bertempat di SK Ulu Bendul. Program ini diadakan bertujuan membentuk peribadi muslim yang cemerlang dari aspek ibadah khusus dan akhlak yang mulia. Seramai 28 murid SK Ulu Bendul daripada murid tahun 4 dan 5 telah menyertai program tersebut. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program Kem IMAN 1430 ini ialah solat berjemaah, ceramah, tazkirah, qiamullail, riadah, bengkel dan amali (bersuci dan solat) serta slot muhasabah diri. Secara keseluruhan, program ini telah berjaya memupuk sifat pengorbanan, kepemimpinan, dan bekerjasama antara satu sama lain. Diharapkan program ini akan dijadikan aktiviti tahunan dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik bahkan juga akhlak.

Para peserta menyanyikan lagu tema program "Iman Mutuiara"

Cikgu Malini sedang mengumumkan nama-nama untuk pembahagian kumpulan.

Ustaz Faisal dari SK Inas, Johol sedang menyampaikan ceramah yang berjudul "Ibadah Sempurna, Kejayaan Milik Kita".

Para peserta sedang menjamu selera secara berjemaah.

Para peserta sedang menjalani halaqah al-Quran bersama fasilitator.

Cikgu Haslina sedang mengendalikan sesi riadah.

Seorang peserta sedang melakukan amali wudhu'.

Ustazah Suryani mengendalikan amali solat di surau.

Cikgu Fa'izah meyampaikan ucapan penutup bagi Kem IMAN 1430.

BENGKEL AKADEMIK: MATEMATIK

7 Oktober 2009: Program kecemerlangan akademik diteruskan dengan penganjuran Bengkel Matapelajaran Matematik bagi murid-murid tahap 2 SK Ulu Bendul. Puan Norliza Basiron dari SK Seremban 2A telah dijemput untuk menyampaikan pengisian dalam bengkel tersebut. Bengkel ini dibahagikan kepada dua sesi. Bagi sesi yang pertama, penceramah banyak menguji tahap pengetahuan peserta di samping berkongsi formula belajar. Sesi yang kedua, beliau membincangkan contoh soalan-soalan peperiksaan. Penyampaian melalui multimedia dan komunikasi yang berkesan telah berjaya menarik minat para peserta bengkel untuk mengikuti pengisiannya dari awal hingga selesai.

SAMBUTAN AIDILFITRI PENYUBUR UKHUWAH

6 Oktober 2009: Jamuan Aidilfitri yang diadakan di Balairaya Kg. Ulu Bendul telah menyuburkan lagi ukhuwah di kalangan guru, ibu bapa dan murid-murid SK Ulu Bendul. Acara yang diadakan pada setiap tahun ini bermula pada jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang. Selain daripada jamuan, para hadirin telah disajikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya daripada murid-murid SK Ulu Bendul. Para hadirin yang datang dengan berpakaian raya telah mewarnai suasana majlis tersebut. YB Samad Ibrahim, Adun Seri Menanti juga turut menyertai sambutan Aidilfitri ini dan sempat menyampaikan ucapannya. Semoga acara sebegini dapat diteruskan dalam menyemarakkan ikatan ukhuwah sesama warga SK Ulu Bendul.

BERLALUNYA RAMADHAN...

16 September 2009: Program Ihya' Ramadhan yang berlangsung sejak 20 Ogos 2009 yang lalu elah ditutup secara rasminya di Surau SKUB. Program dimulai dengan ucapan Cikgu Mazlan, Guru Penolong Kanan HEM dan diserikan dengan persembahan sajak dan dikir barat bertemakan Ramadhan oleh murid-murid SKUB yang berbakat. Kemudian, acara diteruskan dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan. Semoga program sebegini dapat diteruskan setiap tahun sebagai menghayati semangat Ramadhan yang penuh berkat.

Cikgu Mazlan memberi ucapan penutup.

Cikgu Suhaimi menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Ustaz Zulkapli membacakan doa penutup.

Acara bersalaman dan bermaafan sesama murid dan guru sebelum bersurai.

Guru-guru bergambar kenangan.


Klip khas Ihya' Ramadhan SKUB 1430

PENUTUPAN SAMBUTAN BULAN MERDEKA MERIAH

15 September 2009: Program Sambutan Bulan Merdeka 2009 Peringkat Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul (SKUB) berakhir dengan sambutan yang cukup meriah dan penuh semangat patriotik. Acara yang diserikan dengan persembahan sajak dan tayangan multimedia diakhiri dengan nyanyian lagu patriotik sambil diiringi dengan kibaran Jalur Gemilang oleh semua guru dan murid. Ia menjadi lebih bermakna apabila Tuan Guru Besar, Cikgu Suhaimi melaungkan kata keramat "Merdeka" sebanyak 7 kali dan disahut oleh semua guru dan murid. Semoga momentum ini akan mencetuskan kelangsungan warga SKUB untuk terus mengecap kecemerlangan dalam mengisi agenda kemerdekaan.













Klip Khas Merdeka SKUB 2009

SEKITAR PERASMIAN PROGRAM IHYA' RAMADHAN 1430


Sebelum majlis perasmian bermula...


... masih menanti acara dimulakan.

Ustazah Suryani selaku pengacara majlis memulakan kalimah iftitah.

Ustazah Safinaz menyampaikan ucapan selaku Ketua Panitia Pendidikan Islam merangkap Penyelaras Program Ihya' Ramadhan 1430.

Kad ucapan sebagai simbolik perasmian program dan tabung derma Ihya' Ramadhan turut dilancarkan.
Encik Suhaimi membacakan perutusan perasmian program.

Encik Suhaimi menandatangani kad ucapan selepas membacakan perutusan perasmian.


Sempat mengadakan Slot Kuiz Info Ramadhan yang disertakan dengan hadiah menarik.

SEKITAR SAMBUTAN BULAN MERDEKA HARI PERTAMA DAN KEDUA

Murid-murid dan guru-guru membaca surah Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Zulkapli.

Murid-murid dan guru sedang menunaikan solat sunat Hajat secara berjemaah.

Ustaz Zulkapli sedang memberikan tazkirah dan kaifiyat Solat Hajat dan bacaan Surah Yasin memohon agar dihindarkan penyakit Selsema Babi dan Malaysia akan terus dalam keadaan damai dan harmoni.

Murid menunjukkan kesungguhan dalam aktviti Peraduan Mewarna.

Murid-murid sedang khusyu' mendengar ucapan Guru Besar.

En. Suhaimi (Guru Besar) sedang menyempurnakan majlis pelancaran Sambutan Bulan Merdeka 2009.

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.