Taklimat Program Rintis Penilaian Bersepadu

Satu taklimat berkaitan Program Rintis Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan telah diadakan pada 2 Oktober 2012 dan dihadiri oleh semua guru SK Ulu Bendul. Taklimat yang disampaikan oleh tuan guru besar itu juga telah dihadiri oleh Encik Mohd Khir yang mewakili Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai pemantau.




Ceramah Keselamatan bersama PDRM

Program Ceramah Keselamatan dan Undang-undang Malaysia bersama PDRM merupakan kali pertama diadakan di SK Ulu Bendul. Ceramah yang bermula pada jam 8.00 hingga 10 pagi itu telah disampaikan oleh Tuan Haji Karim bin Wahab dari Balai Polis Seri Menanti. Terima kasih, tuan!




Masterchef Junior@Jaguh Kampung?

Pada 3 Oktober 2012 yang lalu, telah diadakan pertandingan memasak antara murid yang terdiri daripada tahun 3 hingga 6. Pertandingan yang disertai oleh 8 kumpulan ini telah membentuk semangat kerja berpasukan dan daya kreativiti di kalangan mereka. Juri-juri yang dilantik adalah di kalangan guru dan respon yang diberikan mereka terhadap hasil masakan para peserta amat memuaskan. Syabas Masterchef Junior @ Jaguh Kampung SKUB!













UPKK: Ma'at Taufiq wan Najah!

Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) telah bermula pada 1 hingga 4 Oktober 2012. Semoga semua 18 murid tahun 5 SK Ulu Bendul telah bersedia untuk menghadapinya. Usaha dan doa perlu seiring, mudah-mudahan kejayaan akan berada di samping. Selamat maju jaya!

HARI KELUARGA & LAWATAN PENANDA ARAS: TERENGGANU

Pada 15 hingga 17 September 2012 yang lalu, warga guru dan staf sokongan SKUB telah mengikuti program Hari Keluarga dan Lawatan Penanda Aras di Terengganu. Aktiviti dimulakan dengan mengadakan "Lawatan Penanda Aras" di "SK Payang" (Pasar Payang), melawat Muzium Negeri dan Taman Tamadun Islam. Aktiviti terakhir adalah melawat ke SK Dusun, Kuala Berang di Hulu Terengganu. SK Dusun merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) bagi kategori Sekolah Kurang Murid (SKM). Ketika lawatan tersebut, Encik Suhaimi bin Norazi, guru besar SK Ulu Bendul telah menandatangani Memorandum Kerjasama Pintar bersama guru besar SK Dusun, Puan Nurani binti Lebai Abdul sebagai tanda jalinan dan kerjasama yang berterusan antara dua pihak.











UPSR: Doa dan Tawakal

Syabas diucapkan kepada kesemua 11 murid tahun 6 yang telah menempuhi UPSR. Segala puji dan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dikurniakan nikmat kesihatan pada anak-anak ini untuk menghadapi peperiksaan dari awal hingga ke akhirnya. Meskipun UPSR telah berlalu, namun doa dan tawakal perlu diteruskan. Semoga beroleh kejayaan semuanya. Amin.

KAMPUS'12

KAMPUS'12 atau Perkampungan UPSR 2012 telah diadakan pada 10 hingga 13 September 2012 yang lalu. Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk menghimpun semua calon UPSR di sekolah dalam membentuk disiplin dan fokus sepanjang minggu peperiksaan. Calon-calon UPSR ini menginap di sekolah dan dipantau oleh guru yang bertugas. Antara aktiviti yang diisi sepanjang KAMPUS'12 ialah solat fardhu berjemaah, bacaan Yassin, solat hajat, kelas persediaan, belajar berkumpulan, tazkirah dan slot "Sentuhan Terakhir" bersama guru mata pelajaran. Semoga usaha ini dapat memberi impak yang positif dalam mencorakkan kecemerlangan mereka, insya Allah.










PROGRAM MUDIR

Program MUDIR (Menguji Diri di Rumah) adalah satu program khas bagi calon UPSR bersempena cuti pertengahan penggal 2 yang lalu. Melalui MUDIR, murid diamanahkan untuk menjawab sejumlah set kertas soalan percubaan negeri lain bagi setiap mata pelajaran. Murid diberikan jadual cadangan untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan. Penjaga bertanggungjawab untuk memantau dan membuat pengesahan pada fail tugasan. Program ini telah dilancarkan ketika perjumpaan bersama penjaga tahun 6 sebelum cuti pertengahan penggal 2 bermula.



PUSAT AKSES KENDIRI (PAK)

Satu sudut khas yang dikenali sebagai Pusat Akses Kendiri telah diwujudkan berhampiran tangga ke pejabat. Pusat Akses Kendiri atau PAK ini telah dibangunkan oleh Puan Habibah binti Abu Bakar yang merupakan Ketua Panitia Bahasa Melayu. Diharapkan dengan adanya PAK ini, para pelajar dapat memanfaatkan masa mereka dengan mengulangkaji pelajaran di sana di samping menjawab set-set soalan Bahasa Melayu yang telah disediakan.


GURU PENYAYANG

Sejak Kempen Guru Penyayang diperkenalkan, guru-guru SKUB kini menjadi semakin prihatin terhadap hal ehwal yang berlaku di kalangan murid-murid. Alhamdulillah, ternyata impaknya cukup berkesan setelah satu kes yang melibatkan murid yang selalu tidak hadir ke sekolah sudah dapat ditangani. Guru-guru yang prihatin ini telah menziarahi rumah murid tersebut untuk melihat sendiri dan mengenal pasti masalah yang berlaku. Mudah-mudahan kempen ini dapat direalisasikan dengan jayanya, insya Allah.




IHYA' RAMADHAN

Program Ihya' Ramadhan merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam. Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ini ialah tazkirah, info Ramadhan, kuiz, tadarrus al-Quran, peraduan membuat kad ucapan hari raya dan sebagainya. Semoga program sebegini dapat memberi kesedaran kepada warga SKUB betapa istimewanya bulan Ramadhan.




BULAN KECERGASAN 1M1S

Program pelancaran Bulan Kecergasan 1M1S telah diadakan pada 10 Julai 2012 melibatkan semua warga SKUB. Program dimulakan dengan ucapan dan gimik pelancaran oleh tuan guru besar, Encik Suhaimi Norazi dan diteruskan dengan acara senamrobik, pertandingan futsal dan pertandingan bola jaring.





SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.