Selamat Datang!

Buat pertama kalinya dalam sejarah, SKUB didatangi oleh dua guru pelatih dari Institut Perguruan Kampus Raja Melewar, Seremban. Mereka ialah Cikgu Juhaida binti Che Hasim dan Cikgu Berlinda Julan Anak Bennet yang bakal menjadi guru Bahasa Inggeris pada masa akan datang. Semoga mereka dapat menimba pengetahuan dan pengalaman yang berharga sepanjang menjalani latihan praktikal di sini. Sementara itu, Cikgu Norlinda telah selamat melahirkan anak lelaki yang keempat dan kini sedang bercuti. Tempat beliau digantikan sementara oleh Cikgu Nurul Fazni binti Mohd Noh. Mudah-mudahan Cikgu Nurul juga dapat menjalankan tugas dengan jayanya.

KUIZ MALAYSIA MERDEKA

Para pelajar bersedia untuk menjawab soalan-soalan kuiz.

Guru-guru juga sudah bersedia untuk memulakan pertandingan.


Guru-guru yang memberikan sokongan terhadap anak-anak didik mereka.



Persembahan pelajar yang menonjolkan perpaduan antara kaum.


Persembahan oleh para pelajar pra sekolah.


Bersempena bulan kemerdekaan yang lalu, SKUB telah menganjurkan Kuiz Malaysia Merdeka pada 20 September 2011. Program ini dirangka sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan rasa kecintaan para pelajar terhadap tanah air. Informasi yang diperoleh sepanjang kuiz dijalankan sedikit sebanyak dapat membekalkan ilmu pengetahuan terhadap sejarah kemerdekaan dan pembangunan negara di kalangan mereka. Bagi Kuiz Malaysia Merdeka edisi pertama ini telah dimenangi oleh rumah Biru dan diikuti oleh rumah Hijau dan rumah Merah. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar dan guru yang terlibat!

RINDU 2

Sebelum bermulanya UPSR, pihak sekolah telah mengadakan program RINDU buat tahun kedua sebagai persiapan rohani bagi calon-calon UPSR. Program RINDU (Restu Ilahi dan Doa Untuk Cemerlang) ini diisi dengan aktiviti solat Maghrib dan Isya' secara berjemaah, solat hajat dan bacaan surah Yasin. Semoga dengan usaha ini dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT di samping mendekatkan diri kita kepadaNya dalam mencari keredhaanNya untuk mencapai kejayaan.



UPSR TELAH BERAKHIR, KE MANA KITA?

Tanggal 13, 14 dan 15 September 2011 yang lalu telah menjadi saksi kesungguhan dan keupayaan anak-anak didik tahun 6 SKUB mengharungi liku-liku perjuangan menghadapi peperiksaan UPSR. Pelbagai reaksi yang diperoleh daripada mereka namun harapan masih sama, iaitu untuk meraih keputusan yang cemerlang. Justeru, marilah kita bersama-sama meneruskan doa dan tawakkal kepada Allah SWT agar diberikan kejayaan yang gemilang kepada semua graduan UPSR 2011. Anda pasti boleh, insya Allah!


Sekadar gambar hiasan.

KEMBALI BERAKSI

Sudah sekian lama blog ini tidak dikemaskini. Mohon maaf atas kelemahan diri. Mungkin disebabkan Facebook lebih mudah diaplikasi. Namun kini sudah kembali beraksi. Ayuh semua sama-sama kita tatapi.

Selamat Datang dan Selamat Tinggal



Warga SKUB mengalu-alukan kedatangan Cikgu Habibah Abu Bakar yang baharu sahaja bertukar ke SKUB pada 16 Mei 2011 yang lalu. Beliau sebelum ini bertugas di SK Dato' Idris dan kini meneruskan khidmat dan bakti di SKUB untuk mengajar matapelajaran Bahasa Melayu. Pada masa yang sama warga SKUB ingin mengucapkan selamat jalan kepada Ustaz Hasif Bushrain atas jasa beliau menjadi guru ganti kepada Ustazah Noradilah Zainuddin selama dua bulan lebih di sini. Terima kasih dan selamat maju jaya buat Ustaz.



HARI GURU



Pada 19 Mei 2011 yang lalu telah diadakan sambutan hari guru peringkat SKUB. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Guru Malaysia yang penuh bersemangat oleh guru-guru dan bacaan perutusan oleh Cikgu Idzwan. Kemudian, Cikgu Rosmawati selaku Pengerusi Program memberikan taklimat ringkas tentang acara-acara yang bakal dijalankan. Acara pertama ialah pertandingan mengupas kacang antara mentor dan mentee. Selepas itu, acara diteruskan dengan pertandingan menghias kek di kalangan guru dan kakitangan secara berpasangan. Sejurus selepas rehat, majlis disambung di dalam dewan bagi acara persembahan dan penyampaian hadiah. Meskipun tiada acara sukaneka diadakan namun sambutan masih tetap meriah dan ceria. Syabas diucapkan kepada Cikgu Rosmawati selaku peneraju dan terima kasih kepada semua warga SKUB termasuk AJK PIBG yang terlibat bagi menjayakan acara yang gemilang ini.

Selamat Tinggal Cikgu Fa'izah







Sekali lagi warga SKUB dikejutkan dengan berita perpindahan seorang lagi guru selepas Cikgu Mazlan bin Karim dan kali ini giliran Cikgu Nor Fa'izah binti Mohd Redza. Beliau telah melaporkan diri di SK Dato' Klana Maamor di Seremban pada minggu lepas dan telah pun mula bertugas pada 7 April 2011 yang lalu. Selama 19 tahun beliau di sini, sudah banyak jasa dan bakti ditaburkan demi memastikan pembangunan pendidikan di SKUB akan terus mencapai tahap yang cemerlang. Warga SKUB mendoakan kesejahteraan Cikgu Fa'izah dan semoga beliau akan terus memberikan komitmen yang jitu di sekolah baharu. Terima kasih Cikgu Fa'izah!

Integriti




Pada 26 Mac 2011 yang lalu telah diadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi siri ke-2 di Bilik Mesyuarat Ali Karamallahu Wajhah, SK Ulu Bendul. Tajuk yang dibentangkan ialah "Integriti Dalam Perkhidmatan". Sesi ini telah dikendalikan oleh Dr. Haji Zawawi bin Haji Hassan dari Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah. Satu isi penting daripada ceramah beliau yang cukup menarik untuk dikongsi bersama ialah tentang "community market" atau pemasaran komuniti. SKUB perlu memikirkan langkah drastik dalam mengadakan pelbagai bentuk program yang boleh melibatkan masyarakat setempat sebagai usaha untuk mempromosikan SKUB dan memastikan bilangan pelajar sentiasa bertambah.

Mesyuarat Agung PIBG 2011



Pada 24 Mac 2011 yang lalu telah diadakan Mesyuarat Agung PIBG kali ke-36 bagi sesi 2011. Mesyuarat pada kali ini telah dihadiri oleh lebih 10 penjaga dan 13 guru. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Dato' Abdul Samad bin Ibrahim. Tiada rombakan dan pemilihan jawatankuasa baharu diadakan namun terdapat beberapa usul yang disampaikan oleh segelintir penjaga. Terima kasih diucapkan kepada warga ibu bapa yang hadir dan prihatin terhadap pembangunan SKUB.




SKUB lakar sejarah tersendiri.

Menyertai Kejohanan Padang dan Balapan MSSM Daerah Kuala Pilah merupakan satu kejayaan awal bagi SKUB. Namun, meraih dua pingat perak adalah satu kejayaan yang cukup membanggakan. Meskipun tidak berjaya memenangi acara-acara lain, namun keupayaan atlet SKUB untuk memenangi pingat telah membuktikan bahawa SKUB mampu memberikan saingan. Syabas diucapkan kepada Farihatul Husna dan Aina Badriah kerana berjaya mendapat tempat kedua dalam acara lontar peluru mengikut kategori masing-masing. Apa yang penting, pengalaman berharga dalam menyertai kejohanan tersebut sudah tentunya amat bernilai bagi semua atlet.















Perjuangan masih belum selesai...

Peperiksaan Pertengahan Penggal 1 telah berlangsung dengan lancar pada 8 dan 9 Mac 2011 yang lalu. Mudah-mudahan semua pelajar dapat menjawab dengan baik dan meraih keputusan yang cemerlang, insya Allah. Namun, perjalanan mereka masih jauh. Teruskan keazaman dan kesungguhan untuk belajar dan menuju kegemilangan.

Sambutan Maulidur Rasul 1432

Pada 4 Mac 2011 yang lalu telah diadakan Sambutan Maulidur Rasul 1432. Program dimulakan dengan perarakan dan selawat warga SKUB di padang dan disambung dengan ceramah dan kuiz di dewan. Penceramah yang dijemput khas ialah Ustaz Mohd Hazrin bin Mazly dari Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan manakala tetamu kehormat pada hari tersebut ialah Tuan Haji Mat Rohani bin Kamar, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Pilah.

Ustaz Jalani menyampaikan taklimat sebelum berarak sambil diiringi Datuk Sulaiman, Sarjan Mejar Sulaiman dan Encik Abdul Samad.

Kaum ibu turut menyertai perarakan.

Ustaz Jalani membacakan doa pembukaan.

Ustaz Hazrin menyampaikan ceramah dengan bersemangat dan ceria.

Persembahan kumpulan nasyid Fi Sabilillah.

KUNTUM di SKUB

Pada 3 Mac 2011 yang lalu, wakil majalah KUNTUM telah datang berkunjung ke SKUB. Mereka hadir untuk beramah-mesra sambil memberi hadiah kepada para pelajar. Selepas pertemuan ringkas yang diadakan di dewan, para pelajar dan guru berpeluang bergambar bersama maskot Kuntum.

Jom Meriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SKUB 1432

  • 4 Mac 2011 (Jumaat)
  • 7.45 pagi: Perarakan dan Selawat
  • 10.30 pagi: Ceramah oleh Ustaz Hazrin bin Mazly (Kolej Matrikulasi NS)
Sesi raptai perarakan Maulidur Rasul

Skuad Atlet SKUB Bukti Kehebatan

Meskipun hadir sebagai atlet jemputan di Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan Yamtuan Antah pada 27 Februari 2011 yang lalu, namun kehadiran mereka telah berjaya membuktikan kecemerlangan apabila memenangi pingat emas untuk acara 4 x 100 meter bagi lelaki dan perempuan. Sekalung tahniah buat quartet 4x100 P - Shuhada, Syuhana, Izzah dan Aina Badriah. Manakala bagi quartet lelaki - Ali, Alief, Ikhmal dan Nazrin. Semoga momentum kemenangan ini akan dibawa je Kejohanan Olahraga Peringkat Daerah Kuala Pilah kelak.Syabas juga buat jurulatih-jurulatih yang terlibat iaitu Cikgu Nasir, Cikgu Linda dan Cikgu Haslina.

SKUB sertai Maulidur Rasul DUN Seri Menanti

Pada 26 Februari 2011 yang lalu, SKUB telah menyertai Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Seri Menanti. Para peserta yang mewakili sekolah terdiri daripada 10 murid dan seorang guru pengiring, Ustazah Safinaz.

PERKUATKAN ROHANI


Sejak minggu pertama persekolahan dibuka, warga SKUB telah memulakan aktiviti bacaan Yassin pada setiap hari Jumaat sebelum sesi pembelajaran bermula. Ia merupakan salah satu persediaan rohani bagi para pelajar dalam menempuhi proses pembelajaran dan peperiksaan khususnya UPSR akan datang. Program yang disertai oleh semua murid dan guru ini diadakan di dewan SKUB.


KELAB RUKUN NEGARA

KELAB RUKUN NEGARA baharu mula bergerak dengan aktifnya pada tahun ini di bawah kendalian Cikgu Noor Haslina Ramli sebagai guru penasihat. Bermatlamatkan cinta pada tanahair berdasarkan kepatuhan pada Rukun Negara yang lima, sudah tentu aktiviti-aktiviti yang telah dan bakal dijalankan berpaksikan patriotisme. Semoga nilai-nilai yang diserlahkan sepanjang aktiviti kelab dijalankan dapat membina sifat patriotik yang tinggi di kalangan murid dan juga guru.

Taklimat sebelum aktiviti oleh Cikgu Haslina.

Sesi "ice-breaking" bersama rakan-rakan kelab.

Salam tanda pengikat kasih penjalin kemesraan.

Melakar lukisan sebagai pemberian istimewa buat sahabat.

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.