HARI KECEMERLANGAN 2009

19 November 2009: Kecemerlangan murid-murid SKUB diraikan dalam Hari Kecemerlangan 2009 yang mana ia diadakan buat pertama kalinya di bangunan kelas sementara yang baru siap dibina. Hampir kesemua penjaga hadir untuk menyaksikan anak-anak mereka menerima hadiah atau anugerah. Tetamu jemputan yang hadir pada majlis tersebut ialah wakil YB Samad Ibrahim selaku perasmi, wakil PPD Kuala Pilah, Tuan Imam Masjid Ulu Bendul, Ketua Balai Polis Terachi, Pengerusi JKKK, YDP dan Timbalan YDP PIBG SK Ulu Bendul. Antara kategori anugerah yang disediakan ialah anugerah Kurikulum Terbaik, Matapelajaran Terbaik, Kehadiran Penuh dan Kelas Agama Petang. Manakala Anugerah Pelajar Terbaik bagi lelaki telah dimenangi oleh adik Mohd Azizul Roslan dan Nor Atiqah Azra Zainal Abidin bagi kategori perempuan. Mereka dipilih berdasarkan penilaian yang dibuat oleh guru-guru dari aspek pencapaian akademik, sahsiah dan penglibatan aktif dalam ko-kurikulum. Majlis ini juga turut diserikan dengan persembahan tayangan multimedia, sketsa adat persandingan orang melayu oleh murid pra-sekolah dan persembahan silap mata oleh Sdr. Hanafi Zainal Abidin. Semoga murid-murid SKUB akan terus menggapai kecemerlangan pada masa-masa akan datang, insya Allah.

Persembahan multimedia selepas perasmian oleh wakil YB DUN Seri Menanti.


Sketsa adat istiadat persandingan orang melayu. "Hai YDP, cepat dapat menantu? ;-D "

Penyampaian hadiah pada murid-murid yang cemerlang.

SEMOGA BERJAYA ANAK-ANAK MURIDKU!

2 November 2009: PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2009 bermula pada hari ini. Semoga semua murid SKUB akan mencuba sedaya upaya dan melakukan yang terbaik dalam menghadapinya. Mulakanlah dengan usaha, iringi dengan doa dan akhirilah dengan kejayaan. Kecemerlangan anda, kebanggaan kami!

SEJATI: MEMBINA JATI DIRI INSAN BERPERIBADI

30 Oktober 2009: KEM SEJATI (Semai Jati Diri) yang diadakan baru-baru ini di Hutan Lipur Ulu Bendul telah memberikan impak yang sangat positif terhadap para guru, staf sokongan dan murid SKUB. Program yang julung kali diadakan di luar sekolah ini telah membuktikan komitmen dan kesungguhan setiap individu dalam menjayakannya. Program ini melibatkan 40 peserta dari tahun 3 hingga 5. Dengan tema "Semaian Murni, Insan Bestari" Kem SEJATI diadakan bertujuan untuk membentuk jati diri murid-murid SKUB yang positif seperti kepemimpinan, kerja berpasukan, sikap bertolak ansur, rela berkorban dan berani mencuba. Kesemua nilai murni ini merupakan pra syarat kepada para peserta untuk menjadi insan yang cemerlang. Sekalung penghargaan diucapkan kepada AJK PIBG, ibu bapa, guru-guru, staf sokongan dan YB Tuan Abdul Samad Ibrahim (ADUN Seri Menanti) yang telah sudi hadir bagi merasmikan penutupan Kem SEJATI dan bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada sekolah dalam memantapkan prestasi SKUB. Moga bertemu lagi di Kem SEJATI Edisi seterusnya!

Cikgu Mazlan selaku Penyelaras program sedang memberikan kata-kata perangsang kepada para peserta Kem SEJATI.

Acara "Segar Jasad dan Minda" setelah penat merentas halangan.

Para peserta membuat persembahan pada malam kebudayaan.

Setiap kumpulan dikehendaki menyediakan sandwich terhebat untuk dinilai oleh juri-juri.

Bersedia untuk menerima amanat terakhir sebelum program bersurai.

YB Tn Abdul Samad Ibrahim sedang menyampaikan amanat dan merasmikan penutupan Kem SEJATI Edisi 1/2009.

Cikgu Suhaimi menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil setiap kumpulan.

Peserta bergambar kenangan bersama guru-guru dan para tetamu jemputan.

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.