PERASMIAN MESYUARAT PIBG LUAK TANJUNG IPOH


Program Mesyuarat PIBG Luak Tanjung Ipoh yang telah diadakan pada 12 Mei 2009 yang lalu di Sekolah Kebangsaan Talang telah mencetuskan satu resolusi yang cukup berkesan apabila Menteri Besar Negeri Sembilan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan belanjawan sekurang-kurangnya RM50,000 bagi tujuan program peningkatan akademik di sekolah-sekolah Luak Tanjung Ipoh bagi tahun 2009. Program yang disertai oleh 10 buah sekolah Luak Tanjung Ipoh itu telah dihadiri oleh seluruh ahli jawatankuasa PIBG bagi setiap sekolah. Adalah diharapkan agar peruntukan yang diluluskan dan kerjasama bagi setiap ahli jawatankuasa PIBG dapat memastikan setiap program akademik yang dilaksanakan akan mencapai matlamatnya. Meskipun SK Ulu Bendul tiada murid tahun 6 namun Encik Suhaimi Norazi selaku Guru Besar telah lama merancang dan menyusun strategi bagi menyediakan para pelajar seawal tahun 4 untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada masa akan datang. Begitu juga dengan guru-guru yang tampaknya sudah semakin serius berusaha untuk memajukan murid-murid di SK Ulu Bendul dari masa ke semasa.

PERTEMUAN 3 PENJURU

24 Jun 2009: Pertemuan 3 Penjuru yang diadakan di sekolah telah berjaya dilaksanakan dan mendapat respon yang baik daripada ibu bapa dan penjaga. Perjumpaan yang melibatkan guru, ibu bapa dan murid itu merupakan program rutin selepas setiap kali peperiksaan dijalankan. Ia bertujuan untuk membincangkan tentang pencapaian akademik murid-murid dengan lebih terperinci. Secara keseluruhan, hampir kesemua ibu bapa atau penjaga yang hadir dan ini menunjukkan betapa prihatinnya mereka terhadap perkembangan akademik anak-anak mereka. Namun begitu, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah sahaja tidak cukup untuk memastikan kejayaan murid-murid. Justeru, guru-guru sangat berharap agar para ibu bapa akan terus memberi dorongan, lebih mengambil berat dan sentiasa memberi bimbingan kepada anak-anak mereka di rumah.

MENANTIKAN SATU PEMBANGUNAN...

Tapak telah pun diteroka. Namun dengan keadaan tanah lapang yang luas itu sedikit sebanyak telah memberi harapan dan semangat baru buat warga SKUB khususnya guru-guru dan murid-murid yang menantikan bangunan baru. Apabila ada bangunan baru sudah tentu adanya kemudahan baru yang sebelum ini tiada. Pun begitu, mudah-mudahan dengan proses pembangunan yang berlaku sekarang akan diiringi dengan semangat baru untuk cemerlang di kalangan murid-murid, insya Allah.

PENGGAL BARU KINI TIBA!

16 Jun 2009: Penggal 2 bagi sesi persekolahan 2009 kini telah tiba. Persediaan para guru dan murid adalah amat diharapkan dalam menjelmakan semangat dan harapan baru dalam mencapai kecemerlangan SK Ulu Bendul sama ada dari aspek akademik atau ko-kurikulum.

HARI GURU DISAMBUT MERIAH

19 Mei 2009: Hari Guru yang bertemakan "Guru Pembina Negara Bangsa" yang diadakan pada 19 Mei 2009 yang lalu telah disambut dengan sederhana tetapi meriah. Acara yang melibatkan guru, ibu bapa dan murid ini dimulakan dengan acara sukaneka di padang. Pelbagai telatah lucu dapat dilihat di kalangan guru dan ibu bapa ketika sama-sama bersaing untuk menang. Acara diakhiri dengan majlis membaca perutusan Menteri Pelajaran Malaysia, persembahan murid-murid dan sesi penyampaian hadiah serta jamuan ringan.

MAULIDUR RASUL 1430H: PEMANGKIN SEMANGAT PERJUANGAN RASULULLAH SAW

17 April 2009: Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di sekolah telah memberi impak yang positif terhadap warga SKUB khususnya murid-murid. Acara yang dimulakan dengan perarakan dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW telah membuktikan kecintaan mereka terhadap Baginda. Selain itu, ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Jasni Ajom dari Pusat Dakwah juga telah memberikan iktibar yang sangat bermakna kepada semua warga SKUB. Sambutan diakhiri dengan persembahan sajak dan nasyid oleh murid-murid serta jamuan ringan. Semoga acara ini akan diteruskan pada setiap tahun.

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.