KLIP menjana kepemimpinan berwibawa

14 Oktober 2010: Anak-anak masa kini, pemimpin masa hadapan. Bakat kepimpinan sebenarnya ada pada setiap insan. Ia cuma perlu dicungkil dan diasah dengan cara yang betul. Mengasah daya kepimpinan sebaik-baiknya bermula sejak kecil terutamanya di sekolah. Di sekolah, sebahagian mereka dilantik sebagai Pengawas, Pustakawan, Ketua Kelas, Pengerusi Kelab dan sebagainya untuk memimpin rakan-rakan mereka. Walau bagaimanapun, tanpa latihan dan bimbingan, agak sukar untuk mereka melaksanakan tugas mereka selaku pemimpin. Justeru, Unit Hal Ehwal Murid SKUB telah menganjurkan Kursus Latihan Pemimpin (KLIP) sebagai satu wadah untuk membimbing pemimpin-pemimpin muda ini. Program separuh hari yang disertai oleh 40 murid di kalangan Pengawas, Pustakawan, Ketua dan Penolong Ketua Kelas serta murid tahun enam itu telah diisi dengan slot-slot berikut:
  • Santai Minda dikendalikan oleh Encik Idzwan Noor bin Shahidan
  • Interaksi 1: "Apa ada pada pemimpin?" Disampaikan oleh Ustazah Suryani Mohamad Nor
  • Interaksi 2: "Tugas sebagai pemimpin" Disampaikan oleh Puan Nor Fa'izah Mohd Redza (Ketua dan Penolong Ketua Kelas), Puan Norlinda Basiron (Pustakawan) dan Encik Mazlan Karim (Pengawas)
  • Kongsi Bijak dikendalikan oleh Cik Noor Haslina Ramli dan Puan Normalini Abdul Rashid

Secara keseluruhan, program ini telah memberikan impak yang sangat positif dan murid-murid telah memahami tanggungjawab mereka selaku pemimpin di sekolah.




SELESA isi masa lapang

Berakhirnya peperiksaan UPSR merupakan satu kelegaan buat murid-murid tahun enam. Walau bagaimanapun, tidak bermakna mereka boleh berehat sepanjang masa dan tidak perlu hadir ke sekolah. Meskipun tiada proses pengajaran dan pembelajaran secara khusus, mereka telah disediakan dengan pelbagai aktiviti berfaedah. Program "Sekolah Selepas Periksa" atau SELESA telah dirancang sebagai mengisi masa terluang murid-murid tahun enam. Antara aktiviti yang telah dan bakal dijalankan ialah latihan futsal, permainan tradisional, permainan dalaman, membuat buku skrap, bengkel fardhu 'ain dan imam muda, tayangan Kampus Astro, bengkel IT (Internet dan Microsoft Word), kursus kepimpinan dan sebagainya. Kesemua aktiviti ini sebenarnya dapat membentuk kemahiran baharu atau menggilap kebolehan mereka yang sedia ada sebagai persiapan sebelum menjejakkan kaki ke sekolah menengah.
Bengkel Imam Muda membentuk keperibadian murid yang bersahsiah tinggi dan meningkatkan ilmu agama yang sedia ada.

Liga Galah Panjang yang turut disertai oleh murid-murid tahun lain yang dilaksanakan ketika sesi Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

SKUAD FUTSAL BIKIN GEMPAK!

12-13 Oktober 2010: SKUB sekali lagi merakamkan sejarahnya tersendiri apabila dua skuad futsal putera dan puteri dihantar ke Kejohanan Futsal Sekolah Rendah Peringkat Kuala Pilah. Acara yang bertempat di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah itu telah disertai oleh hampir semua sekolah kebangsaan di daerah Kuala Pilah. Program ini dianjurkan bertujuan mengisi masa lapang murid-murid tahun enam yang telah melepasi peperiksaan UPSR yang lalu di samping mencungkil bakat peserta, membentuk daya saing dan semangat berpasukan serta mengasah kemahiran bermain futsal. Meskipun skuad puteri gagal memberikan saingan namun prestasi skuad putera amat mengejutkan setelah berjaya menjadi juara kumpulan dan sampai ke peringkat suku akhir. Ini merupakan satu bukti betapa SKUB tidak gentar mengharungi sebarang cabaran yang mendatang, insha Allah.
Skuad Futsal Putera bergambar kenangan sebelum bertolak ke medan pertempuran. Kalah menang adat bertanding, apa yang penting? Kerjasama!

SEDIA MENYELAMAT!

7 Oktober 2010: Pegawai bomba pada masa kini menghadapi tugas yang semakin berat dan mencabar. Mereka bukan sahaja berdepan dengan api yang marak membara bahkan pelbagai bencana seperti banjir, kemalangan, binatang berbisa, tanah runtuh dan sebagainya. Kerjaya yang berisiko ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental serta keberanian yang tiada hadnya. Sehubungan itu, SKUB telah mengundang wakil anggota dari Jabatan Bomba Kuala Pilah untuk mengadakan taklimat dan demonstrasi keselamatan kepada seluruh warga SKUB sebagai satu inisatif untuk mengenali tugas mereka secara dekat. Kehadiran mereka telah memberikan satu perpsektif positif khususnya di kalangan pelajar. Semoga dengan acara sebegini bukan sahaja dapat memupuk kesedaran kepada warga SKUB tentang kepentingan menjaga keselamatan bahkan menghargai sumbangan pihak bomba yang sentiasa patuh dengan motto mereka iaitu "Sedia Menyelamat".

Tuan Shahriel sedang memberikan taklimat tentang cara-cara menggunakan alat pemadam api.


Cikgu Nasir menunjukkan kebolehan mengendalikan alat pemadam api.

Murid juga tidak ketinggalan untuk cuba mengandalikan alat pemadam api.

MASANYA TELAH TIBA!

21 September 2010: Masanya telah tiba wahai anak-anakku. Tenangkan mindamu, lapangkan hatimu. Usaha telah berlalu. Kini panjatkan doa setiap waktu. Lakukan yang terbaik sepenuh jitu. Insya Allah, Allah bersamamu. Selamat berjuang dan nantikan kejayaan di hadapanmu. Amin.

RINDU

17 September 2010: Buat julung kalinya SKUB bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini. Sebagai salah satu persediaan mental untuk menghadapi perjuangan tersebut, pihak sekolah telah menganjurkan satu program yang dikenali sebagai RINDU (Restu Ilahi dan Doa untuk Cemerlang). Program yang diisi dengan aktiviti solat hajat dan bacaan Yassin ini telah dihadiri oleh kesemua guru, murid dan ibu bapa atau penjaga murid-murid tahun 6. Selepas selesai solat hajat dan bacaan Yassin, murid-murid memohon ampun dan restu daripada ibu bapa dan guru-guru. Semoga murid-murid tahun 6 SKUB dapat menghadapi UPSR 2010 dengan tenang dan berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Amin.
Ustaz Jalani, Imam 1 Masjid Kariah Ulu Bendul memimpin bacaan Yassin.
Jemaah sedang mendengar kaifiat solat hajat dan bacaay Yassin yang disampaikan oleh Ustaz Jalani.
Sesi pohon ampun dan restu antara ibu dan anak yang penuh emosi.

MENGHAYATI RAMADHAN

Program Ihya' Ramadhan merupakan sebuah lagi acara tahunan yang diadakan pada setiap bulan Ramadhan. Program ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang membina rohani seperti solat fardhu jemaah, tadarrus Al-Quran, solat hajat, bacaan Yassin, tazkirah, info Ramadhan, kuiz, pertandingan hafazan ayat-ayat lazim dan melukis serta mewarna poster. Program sebegini sebenarnya dapat membimbing murid-murid untuk melaksanakan amal ibadah dan memperbaiki akhlak diri. Diharapkan program ini mampu membentuk generasi SKUB yang bersahsiah tinggi bukan sahaja pada bulan Ramadhan bahkan pada setiap masa, insya Allah.

Ustazah Suryani sedang menyampaikan tazkirah dan info berkaitan hikmah yang terkandung dalam bulan Ramadhan kepada anak-anak murid.

MERDEKA MINDA MERDEKA JIWA

30 Ogos 2010: Merdeka bukan sekadar lafaz dan kata-kata. Ia adalah satu istilah yang seharusnya ditafsir dengan sejarah perjuangan dan pengorbanan untuk membina bangsa berjaya. Dewasa ini "Merdeka" hanya lebih bersemangat dilaungkan di konsert-konsert hiburan sambil tangan memegang botol arak atau tayar motor hadapan diangkat di atas jalan raya. Generasi muda kebanyakannya tidak tahu asal usul bagaimana Malaysia memperoleh kemerdekaannya. Mereka mungkin tahu tetapi buat-buat lupa tentang bagaimana pejuang dahulu menghunus senjata dalam peperangan, bersusah payah dalam menjalankan rundingan dengan penjajah yang penuh muslihat sehingga akhirnya beroleh kemerdekaan. Justeru, program Sambutan Kemerdekaan Peringkat SK Ulu Bendul telah dilaksanakan sebagai menghayati erti kemerdekaan. Aktiviti-aktviti yang telah diisi ialah Kempen Kibar Jalur Gemilang, Ops 3K (Kesan, Kutip dan Karung), Kempen 3S (Senyum, Salam dan Sapa), Teka Tokoh, Kuiz Jejak Gemilang dan Manifestasi Cinta Merdeka. Mudah-mudahan program tahunan sebegini mampu sedikit sebanyak menyemarakkan semangat cintakan negara di kalangan warga SKUB, insya Allah.

Murid-murid sedang "mengesan". "mengutip" dan "mengarungkan" sampah dalam Ops 3K (Kesan, Kutip dan Karung).

Seorang murid sedang menyampaikan sebuah puisi dengan penuh penghayatan.

Guru Besar menyampaikan hadiah kepada pemenang Manifestasi Cinta Merdeka.

Seorang murid memakai pakaian Jalur Gemilang sebagai tanda semangat cintakan negara.

En. Suhaimi begitu sporting dan bersemangat melaungkan merdeka bersama-sama anak-anak muridnya.

Sambutan Kemerdekaan


SAMBUTAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SK ULU BENDUL
30 OGOS 2010 / 20 RAMADHAN 1431 (ISNIN)

MINGGU PSS: ASPIRASI ILMU

Minggu PSS yang telah diadakan selama 5 hari bermula dari 19 Julai hingga 23 Julai 2010 merupakan satu wadah terbaik bagi setiap panitia mata pelajaran untuk merangka aktiviti yang menarik dan efektif dalam menjana minat murid untuk menimba ilmu pengetahuan. Daripada segmen info, kuiz sehinggalah ke pertandingan nyanyian, rata-ratanya mempunyai matlamat yang sama iaitu meningkatkan minat dan potensi murid dalam sesuatu mata pelajaran. Alhamdulillah, selama 5 hari program berlangsung, semua pelajar telah menunjukkan semangat kerjasama yang mantap, kesungguhan, kreativiti, berani dan toleransi yang tinggi. Mudah-mudahan nilai-nilai murni ini akan terus tersemat dalam sanubari mereka meskipun program telah lama berlalu.

JOM SUKAN!

1 Julai 2010: Penganjuran Kejohanan Sukan Tahunan SK Ulu Bendul kali ini memang sangat dinanti-nantikan terutamanya para pelajar disebabkan tiada penganjurannya pada tahun lepas. Justeru, impaknya begitu positif dan terserlah. Ia dapat dilihat dengan kesungguhan para guru penasihat dalam menguruskan pasukan mereka sama ada bagi acara perbarisan mahupun sukan. Alhamdulillah, cuaca yang baik walaupun kelihatan agak mendung pada awalnya namun segala perancangan berjalan dengan lancar. Acara perbarisan telah dimenangi oleh rumah Hijau manakala Johan Keseluruhan dimenangi oleh rumah Biru. Olahragawan Terbaik dirangkul oleh adik Mohd Azizul bin Roslan dari Tahun 6 UPM manakala adik Nur Atiqah Azra binti Zainal Abidin juga dari 6 UPM bagi Olahragawati Terbaik.











SENTAP? APA TU?

23 Jun 2010: Meskipun penggal kedua persekolahan baru dibuka namun satu program motivasi khusus bagi tahap 2 telah diadakan di dewan serbaguna SK Ulu Bendul. Program separuh hari anjuran Unit HEM itu merupakan satu pakej istimewa yang telah ditawarkan oleh pihak Alfaliheen Management. Program SENTAP atau nama penuhnya Seminar Motivasi Minat Belajar ini diadakan bertujuan menyemai motivasi dan memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan menyediakan diri sebagai pelajar yang cemerlang. Sdr. Mohd Izzuddin Nazaruddin selaku penceramah yang bertindak secara solo pada hari tersebut telah berjaya mencungkil semangat dan emosi peserta melalui pendekatan kekeluargaan dan kerohanian. Sdr. Izzuddin merupakan salah seorang jurulatih utama dalam Alfaliheen Management dan pada masa yang sama merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Ilmu Wahyu. Pada akhir program, para peserta telah diberikan sijil penyertaan yang mana di dalamnya terkandung segala azam dan resolusi para peserta selepas program. Moga para pelajar dapat memanfaatkan segala ilmu dan pengetahuan daripada program SENTAP ini. Terima kasih kepada Sdr. Izzuddin dan Alfaliheen Management. Sekiranya ingin mengetahui maklumat lanjut tentang Alfaliheen Management, sila layari: alfaliheen.blogspot.com.

"Fikirkan boleh!" itulah yang dilaungkan oleh para peserta dengan penuh semangat ketika menyanyikan lagu tema SENTAP, "Fikirkan Boleh".

Sdr. Izzuddin menyampaikan ceramahnya dengan gaya yang santai dan penuh yakin.

Segelintir peserta yang tidak mampu menahan linangan air mata dek sebak menghayati ungkapan Sdr. Izzuddin tentang pengorbanan ibu dan bapa.

Para peserta sedang menulis azam dan maklumat diri pada sijil masing-masing.

Cikgu Fa'izah (GPK 1) menyampaikan cenderamata kepada Sdr. Izzuddin pada akhir rancangan. Terima kasih, lain kali boleh jemput lagi ye!

HARI GURU

27 Mei 2010: Lewat seminggu tak semestinya Hari Guru tak boleh disambut dengan meriah. Hari untuk guru ni tak kira masa. Kalau boleh hari-hari nak sambut pun tak apa. Apa-apa pun matlamat sebenar perayaan Hari Guru disambut sebenarnya adalah untuk menghargai segala pengorbanan dan jasa guru di samping memberi motivasi kepada warga pendidik ini untuk terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Di SKUB sendiri perayaan Hari Guru disambut dengan cukup meriah dengan pelbagai aktiviti sukan dan persembahan. Masa tulah nak tengok wajah-wajah guru yang penuh ceria dan santai. Apa-apa pun syabas diucapkan kepada Cikgu Asmah selaku penyelaras dan AJK-AJKnya atas penganjuran Hari Guru yang cukup bermakna. Selamat Hari Guru!


GOTONG-ROYONG PERDANA

15 Mei 2010: Satu program yang dikenali sebagai Gotong-royong Perdana telah diadakan bersempena menyambut Hari Guru. Program ini dilaksanakan serentak di seluruh negara. Bagi acara ini, pihak sekolah telah mewajibkan semua guru dan staf sokongan serta murid tahap 2 manakala ibu bapa dan penjaga dijemput serta bagi memeriahkan program tersebut. Pada hari tersebut, 3 lokasi utama dikenalpasti bagi dijalankan kerja-kerja pengubahsuaian dan baikpulih. Lokasi pertama ialah belakang surau, lokasi kedua di perpustakaan dan lokasi ketiga di bilik PSS. Alhamdulillah, meskipun sambutan ibu bapa kurang menggalakkan namun misi pembersihan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Cikgu Mazlan sedang menyampaikan taklimat sebelum operasi bermula.

Salah seorang penjaga sedang menebas semak samun dan dahan pokok.

Sebahagian murid sedang mengemaskan perpustakaan yang sememangnya sudah sedia kemas dan ceria.

Dah letih bekerja, kita makanla pulak!

Wajah baru yang penuh tenang di bilik PSS yang juga merupakan bilik Cikgu Mazlan, Cikgu Nasir dan Cikgu Idzwan. Lepas ni selalu la duduk kat dalam ni kut. Terima kasih Ustazah Safinaz, Ustazah Suryani, Cikgu Asmah dan Cikgu Lily ;-)

BENGKEL SAINS

6 Mei 2010: Program Lonjakan Kecemerlangan UPSR 2010 diteruskan dengan penganjuran Bengkel Sains. Bengkel ini telah dikendalikan oleh Cikgu Nazri dari Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya. Beliau merupakan salah seorang pemeriksa kertas soalan Sains bagi UPSR. Dalam bengkel tersebut, beliau mengkhususkan perbincangan tentang kertas Bahagian B iaitu soalan berbentuk subjektif atau kemahiran manipulatif. Melalui bengkel ini, beliau telah berkongsi tentang teknik menjawab soalan dengan cara yang lebih mudah menggunakan formula tertentu. Semoga teknik dan strategi yang diberikan oleh Cikgu Nazri ini dapat diamalkan oleh para pelajar dalam peperiksaan yang akan datang terutamanya mereka yang bakal menghadapi UPSR nanti.

Antara murid yang hadir ke Bengkel Sains.

Cikgu Nazri sedang menyampaikan pengisian dengan penuh semangat dan kesungguhan.

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.