KLIP menjana kepemimpinan berwibawa

14 Oktober 2010: Anak-anak masa kini, pemimpin masa hadapan. Bakat kepimpinan sebenarnya ada pada setiap insan. Ia cuma perlu dicungkil dan diasah dengan cara yang betul. Mengasah daya kepimpinan sebaik-baiknya bermula sejak kecil terutamanya di sekolah. Di sekolah, sebahagian mereka dilantik sebagai Pengawas, Pustakawan, Ketua Kelas, Pengerusi Kelab dan sebagainya untuk memimpin rakan-rakan mereka. Walau bagaimanapun, tanpa latihan dan bimbingan, agak sukar untuk mereka melaksanakan tugas mereka selaku pemimpin. Justeru, Unit Hal Ehwal Murid SKUB telah menganjurkan Kursus Latihan Pemimpin (KLIP) sebagai satu wadah untuk membimbing pemimpin-pemimpin muda ini. Program separuh hari yang disertai oleh 40 murid di kalangan Pengawas, Pustakawan, Ketua dan Penolong Ketua Kelas serta murid tahun enam itu telah diisi dengan slot-slot berikut:
  • Santai Minda dikendalikan oleh Encik Idzwan Noor bin Shahidan
  • Interaksi 1: "Apa ada pada pemimpin?" Disampaikan oleh Ustazah Suryani Mohamad Nor
  • Interaksi 2: "Tugas sebagai pemimpin" Disampaikan oleh Puan Nor Fa'izah Mohd Redza (Ketua dan Penolong Ketua Kelas), Puan Norlinda Basiron (Pustakawan) dan Encik Mazlan Karim (Pengawas)
  • Kongsi Bijak dikendalikan oleh Cik Noor Haslina Ramli dan Puan Normalini Abdul Rashid

Secara keseluruhan, program ini telah memberikan impak yang sangat positif dan murid-murid telah memahami tanggungjawab mereka selaku pemimpin di sekolah.




SELESA isi masa lapang

Berakhirnya peperiksaan UPSR merupakan satu kelegaan buat murid-murid tahun enam. Walau bagaimanapun, tidak bermakna mereka boleh berehat sepanjang masa dan tidak perlu hadir ke sekolah. Meskipun tiada proses pengajaran dan pembelajaran secara khusus, mereka telah disediakan dengan pelbagai aktiviti berfaedah. Program "Sekolah Selepas Periksa" atau SELESA telah dirancang sebagai mengisi masa terluang murid-murid tahun enam. Antara aktiviti yang telah dan bakal dijalankan ialah latihan futsal, permainan tradisional, permainan dalaman, membuat buku skrap, bengkel fardhu 'ain dan imam muda, tayangan Kampus Astro, bengkel IT (Internet dan Microsoft Word), kursus kepimpinan dan sebagainya. Kesemua aktiviti ini sebenarnya dapat membentuk kemahiran baharu atau menggilap kebolehan mereka yang sedia ada sebagai persiapan sebelum menjejakkan kaki ke sekolah menengah.
Bengkel Imam Muda membentuk keperibadian murid yang bersahsiah tinggi dan meningkatkan ilmu agama yang sedia ada.

Liga Galah Panjang yang turut disertai oleh murid-murid tahun lain yang dilaksanakan ketika sesi Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

SKUAD FUTSAL BIKIN GEMPAK!

12-13 Oktober 2010: SKUB sekali lagi merakamkan sejarahnya tersendiri apabila dua skuad futsal putera dan puteri dihantar ke Kejohanan Futsal Sekolah Rendah Peringkat Kuala Pilah. Acara yang bertempat di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah itu telah disertai oleh hampir semua sekolah kebangsaan di daerah Kuala Pilah. Program ini dianjurkan bertujuan mengisi masa lapang murid-murid tahun enam yang telah melepasi peperiksaan UPSR yang lalu di samping mencungkil bakat peserta, membentuk daya saing dan semangat berpasukan serta mengasah kemahiran bermain futsal. Meskipun skuad puteri gagal memberikan saingan namun prestasi skuad putera amat mengejutkan setelah berjaya menjadi juara kumpulan dan sampai ke peringkat suku akhir. Ini merupakan satu bukti betapa SKUB tidak gentar mengharungi sebarang cabaran yang mendatang, insha Allah.
Skuad Futsal Putera bergambar kenangan sebelum bertolak ke medan pertempuran. Kalah menang adat bertanding, apa yang penting? Kerjasama!

SEDIA MENYELAMAT!

7 Oktober 2010: Pegawai bomba pada masa kini menghadapi tugas yang semakin berat dan mencabar. Mereka bukan sahaja berdepan dengan api yang marak membara bahkan pelbagai bencana seperti banjir, kemalangan, binatang berbisa, tanah runtuh dan sebagainya. Kerjaya yang berisiko ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental serta keberanian yang tiada hadnya. Sehubungan itu, SKUB telah mengundang wakil anggota dari Jabatan Bomba Kuala Pilah untuk mengadakan taklimat dan demonstrasi keselamatan kepada seluruh warga SKUB sebagai satu inisatif untuk mengenali tugas mereka secara dekat. Kehadiran mereka telah memberikan satu perpsektif positif khususnya di kalangan pelajar. Semoga dengan acara sebegini bukan sahaja dapat memupuk kesedaran kepada warga SKUB tentang kepentingan menjaga keselamatan bahkan menghargai sumbangan pihak bomba yang sentiasa patuh dengan motto mereka iaitu "Sedia Menyelamat".

Tuan Shahriel sedang memberikan taklimat tentang cara-cara menggunakan alat pemadam api.


Cikgu Nasir menunjukkan kebolehan mengendalikan alat pemadam api.

Murid juga tidak ketinggalan untuk cuba mengandalikan alat pemadam api.

MASANYA TELAH TIBA!

21 September 2010: Masanya telah tiba wahai anak-anakku. Tenangkan mindamu, lapangkan hatimu. Usaha telah berlalu. Kini panjatkan doa setiap waktu. Lakukan yang terbaik sepenuh jitu. Insya Allah, Allah bersamamu. Selamat berjuang dan nantikan kejayaan di hadapanmu. Amin.

RINDU

17 September 2010: Buat julung kalinya SKUB bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini. Sebagai salah satu persediaan mental untuk menghadapi perjuangan tersebut, pihak sekolah telah menganjurkan satu program yang dikenali sebagai RINDU (Restu Ilahi dan Doa untuk Cemerlang). Program yang diisi dengan aktiviti solat hajat dan bacaan Yassin ini telah dihadiri oleh kesemua guru, murid dan ibu bapa atau penjaga murid-murid tahun 6. Selepas selesai solat hajat dan bacaan Yassin, murid-murid memohon ampun dan restu daripada ibu bapa dan guru-guru. Semoga murid-murid tahun 6 SKUB dapat menghadapi UPSR 2010 dengan tenang dan berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Amin.
Ustaz Jalani, Imam 1 Masjid Kariah Ulu Bendul memimpin bacaan Yassin.
Jemaah sedang mendengar kaifiat solat hajat dan bacaay Yassin yang disampaikan oleh Ustaz Jalani.
Sesi pohon ampun dan restu antara ibu dan anak yang penuh emosi.

MENGHAYATI RAMADHAN

Program Ihya' Ramadhan merupakan sebuah lagi acara tahunan yang diadakan pada setiap bulan Ramadhan. Program ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang membina rohani seperti solat fardhu jemaah, tadarrus Al-Quran, solat hajat, bacaan Yassin, tazkirah, info Ramadhan, kuiz, pertandingan hafazan ayat-ayat lazim dan melukis serta mewarna poster. Program sebegini sebenarnya dapat membimbing murid-murid untuk melaksanakan amal ibadah dan memperbaiki akhlak diri. Diharapkan program ini mampu membentuk generasi SKUB yang bersahsiah tinggi bukan sahaja pada bulan Ramadhan bahkan pada setiap masa, insya Allah.

Ustazah Suryani sedang menyampaikan tazkirah dan info berkaitan hikmah yang terkandung dalam bulan Ramadhan kepada anak-anak murid.

MERDEKA MINDA MERDEKA JIWA

30 Ogos 2010: Merdeka bukan sekadar lafaz dan kata-kata. Ia adalah satu istilah yang seharusnya ditafsir dengan sejarah perjuangan dan pengorbanan untuk membina bangsa berjaya. Dewasa ini "Merdeka" hanya lebih bersemangat dilaungkan di konsert-konsert hiburan sambil tangan memegang botol arak atau tayar motor hadapan diangkat di atas jalan raya. Generasi muda kebanyakannya tidak tahu asal usul bagaimana Malaysia memperoleh kemerdekaannya. Mereka mungkin tahu tetapi buat-buat lupa tentang bagaimana pejuang dahulu menghunus senjata dalam peperangan, bersusah payah dalam menjalankan rundingan dengan penjajah yang penuh muslihat sehingga akhirnya beroleh kemerdekaan. Justeru, program Sambutan Kemerdekaan Peringkat SK Ulu Bendul telah dilaksanakan sebagai menghayati erti kemerdekaan. Aktiviti-aktviti yang telah diisi ialah Kempen Kibar Jalur Gemilang, Ops 3K (Kesan, Kutip dan Karung), Kempen 3S (Senyum, Salam dan Sapa), Teka Tokoh, Kuiz Jejak Gemilang dan Manifestasi Cinta Merdeka. Mudah-mudahan program tahunan sebegini mampu sedikit sebanyak menyemarakkan semangat cintakan negara di kalangan warga SKUB, insya Allah.

Murid-murid sedang "mengesan". "mengutip" dan "mengarungkan" sampah dalam Ops 3K (Kesan, Kutip dan Karung).

Seorang murid sedang menyampaikan sebuah puisi dengan penuh penghayatan.

Guru Besar menyampaikan hadiah kepada pemenang Manifestasi Cinta Merdeka.

Seorang murid memakai pakaian Jalur Gemilang sebagai tanda semangat cintakan negara.

En. Suhaimi begitu sporting dan bersemangat melaungkan merdeka bersama-sama anak-anak muridnya.

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.