BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH

Sebahagian kaum bapa yang hadir ketika Mesyuarat Agung PIBG SKUB yang diadakan pada 24 Mac 2010 yang lalu.

Kaum ibu sedang asyik mendengar ucapan daripada Yang Dipertua PIBG.

Terima kasih YB Samad kerana sempat hadir untuk menyampaikan ucapan penangguhan.

Salah satu faktor kekuatan sesebuah sekolah itu adalah disebabkan mantapnya PIBG. Tanpa PIBG yang mantap, usaha pihak sekolah dalam membangunkan kecemerlangan akademik dan sahsiah murid akan terjejas disebabkan kelemahan faktor kewangan, kurangya idea yang bernas dan sebagainya. Walau bagaimanapun, adakalanya terdapat konflik di kalangan ibu bapa dan guru disebabkan kelemahan yang terdapat pada PIBG. Contoh yang lazim dan mudah ialah kehadiran ibu bapa ke mesyuarat agung yang kurang memuaskan atau amat sedikit. Ketidakhadiran mereka dalam mesyuarat mengakibatkan sesuatu keputusan yang dibuat berkaitan usul akan menjadi tidak kuat dan goyah. Mungkin usul yang diperbahaskan menjadi ala kadar atau kurangnya pandangan yang dilontarkan oleh ibu bapa. Hasilnya, apabila pihak sekolah melaksanakan sesuatu program atau dasar, tidak hairanlah jika masih ada sebilangan ibu bapa yang tidak bersetuju atau tidak berpuas hati walhal ianya adalah keputusan yang telah dibuat dan dipersetujui dalam mesyuarat agung PIBG! Golongan yang membangkang inilah di kalangan mereka yang tidak hadir atau tidak berminat untuk hadir ke mesyuarat. Sebagai kesimpulannya, ayuhlah ibu bapa dan guru... kita bersatu dan teguhkan perpaduan dalam meneruskan agenda kecemerlangan anak-anak kita, insya Allah.

DEDIKASI BUATMU RASULULLAH

Menjadi rutin tahunan bagi SKUB untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu usaha untuk memberi kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya mengenang jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya. Apatah lagi pada masa kini generasi muda lebih mengagungkan artis atau selebriti sebagai ikon kehidupan berbanding memilih Rasulullah sebagai contoh ikutan sepanjang zaman tak kira masa. Alangkah malangnya jika anak-anak kita tidak tahu untuk berselawat ke atas Junjungan Mulia. Alangkah sedihnya seandainya mereka tidak tahu atau lupa tentang latar belakang kehidupan Baginda. Lebih memalukan jika kita sendiri langsung tidak cuba berusaha untuk menghidupkan sunnahnya yang mulia. Rasulullah SAW sendiri pada hayatnya tidak pernah melupakan umatnya sehingga ke hujung usia. Tatkala Baginda pada saat getir menghadapi kewafatan, di bibirnya tak lekang melafazkan "Umatku.. umatku.. umatku.." membuktikan begitu kasih dan sayangnya baginda kepada kita. Justeru, sebagai resolusi, marilah kita bersama-sama meningkatkan rasa cinta kita kepada Kekasih Allah dengan menghidupkan sunnah Baginda di samping berselawat sentiasa. Mengingati Baginda bukannya bermusim tetapi setiap ketika...




TAKLIMAT NILAM: MENYEMAI MINAT MEMBACA

Taklimat NILAM yang diadakan bertujuan untuk memberi penerangan kepada para pelajar tentang objektif NILAM dan teknik mengisi buku NILAM dengan cara yang betul. Sebelum ini masih terdapat ramai murid yang tidak jelas dan tidak tahu untuk mengisi buku NILAM dengan cara yang betul. Justeru, diharapkan dengan taklimat yang disampaikan sendiri oleh Penyelaras PSS iaitu Cikgu Norlinda, mereka dapat menjayakan program NILAM dengan lebih baik dan menyemai minat membaca.

KURSUS PENGAWAS PSS

Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah (PSS) telah mengadakan Kursus Pengawas PSS sebagai usaha untuk melatih dan membina daya kepemimpinan dan kemahiran pengawas PSS. Kursus ini telah dikendalikan oleh Cikgu Norlinda Basiron dan Cikgu Noor Haslina Ramli yang bertindak sebagai penceramah dan fasilitator. Program sebegini sangat penting agar pengawas PSS yang dilantik dapat melaksanakan tugas mereka dengan lebih efisyen.

Cikgu Linda sedang menyampaikan pengisian sambil memantau anak-anak didiknya.

Cikgu Haslina kelihatan bersemangat menyampaikan ceramahnya.

SKUAD SKUB BUKTI KEMAMPUAN

7 Mac 2010: SKUB telah menghantar satu skuad pelari 4 x 100 ke Kejohanan Olahraga anjuran Sekolah Kebangsaan Yam Tuan Antah, Gunung Pasir sebagai atlet jemputan. Apa yang membanggakan, skuad yang disertai oleh adik Wafa Raidah Zamani, Azreen Sahira Abdul Samad, Nor Shuhada Sulaiman dan Siti Nor Syuhana Mohd Nasir telah memenangi tempat kedua dalam acara tersebut. Ini membuktikan bahawa SKUB mampu bersaing dalam apa jua bidang jika ada kesungguhan dan keyakinan, insya Allah. Syabas diucapkan kepada jurulatihnya, Cikgu Norlinda Basiron atas usaha yang dilakukan.
Para atlet sedang menerima pingat daripada YB Samad Ibrahim, ADUN Seri Menanti.
Skuad SKUB mengambil gambar kenangan sebelum berangkat pulang. Syabas!

BENGKEL UPSR: BAHASA MELAYU

27 Februari 2010: Program Lonjakan Akademik UPSR diteruskan dengan Bengkel Matapelajaran Bahasa Melayu. Program yang disertai oleh 16 murid tahun 5 dan 6 ini bertujuan untuk memantapkan pemahaman murid-murid tentang strategi yang berkesan untuk menjawab kertas soalan pemahaman dan penulisan Bahasa Melayu. Bengkel ini telah disampaikan oleh Puan Che Yah binti Bachik dari Sekolah Kebangsaan Undang Johol. Semoga bengkel ini dapat dimanfaatkan oleh murid-murid dengan sebaik mungkin.
Ustazah Safinaz selaku Pengacara Majlis memulakan kalam muqaddimah.

Puan Che Yah sedang menyampaikan pengisiannya.

Para peserta sedang melakukan diskusi dalam kumpulan tentang tugasan yang diberikan.

Encik Suhaimi meyampaikan cenderahati kepada Puan Che Yah. Terima kasih Puan, lain kali boleh jemput lagi ;-)

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.