JOM SUKAN!

1 Julai 2010: Penganjuran Kejohanan Sukan Tahunan SK Ulu Bendul kali ini memang sangat dinanti-nantikan terutamanya para pelajar disebabkan tiada penganjurannya pada tahun lepas. Justeru, impaknya begitu positif dan terserlah. Ia dapat dilihat dengan kesungguhan para guru penasihat dalam menguruskan pasukan mereka sama ada bagi acara perbarisan mahupun sukan. Alhamdulillah, cuaca yang baik walaupun kelihatan agak mendung pada awalnya namun segala perancangan berjalan dengan lancar. Acara perbarisan telah dimenangi oleh rumah Hijau manakala Johan Keseluruhan dimenangi oleh rumah Biru. Olahragawan Terbaik dirangkul oleh adik Mohd Azizul bin Roslan dari Tahun 6 UPM manakala adik Nur Atiqah Azra binti Zainal Abidin juga dari 6 UPM bagi Olahragawati Terbaik.











SENTAP? APA TU?

23 Jun 2010: Meskipun penggal kedua persekolahan baru dibuka namun satu program motivasi khusus bagi tahap 2 telah diadakan di dewan serbaguna SK Ulu Bendul. Program separuh hari anjuran Unit HEM itu merupakan satu pakej istimewa yang telah ditawarkan oleh pihak Alfaliheen Management. Program SENTAP atau nama penuhnya Seminar Motivasi Minat Belajar ini diadakan bertujuan menyemai motivasi dan memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan menyediakan diri sebagai pelajar yang cemerlang. Sdr. Mohd Izzuddin Nazaruddin selaku penceramah yang bertindak secara solo pada hari tersebut telah berjaya mencungkil semangat dan emosi peserta melalui pendekatan kekeluargaan dan kerohanian. Sdr. Izzuddin merupakan salah seorang jurulatih utama dalam Alfaliheen Management dan pada masa yang sama merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Ilmu Wahyu. Pada akhir program, para peserta telah diberikan sijil penyertaan yang mana di dalamnya terkandung segala azam dan resolusi para peserta selepas program. Moga para pelajar dapat memanfaatkan segala ilmu dan pengetahuan daripada program SENTAP ini. Terima kasih kepada Sdr. Izzuddin dan Alfaliheen Management. Sekiranya ingin mengetahui maklumat lanjut tentang Alfaliheen Management, sila layari: alfaliheen.blogspot.com.

"Fikirkan boleh!" itulah yang dilaungkan oleh para peserta dengan penuh semangat ketika menyanyikan lagu tema SENTAP, "Fikirkan Boleh".

Sdr. Izzuddin menyampaikan ceramahnya dengan gaya yang santai dan penuh yakin.

Segelintir peserta yang tidak mampu menahan linangan air mata dek sebak menghayati ungkapan Sdr. Izzuddin tentang pengorbanan ibu dan bapa.

Para peserta sedang menulis azam dan maklumat diri pada sijil masing-masing.

Cikgu Fa'izah (GPK 1) menyampaikan cenderamata kepada Sdr. Izzuddin pada akhir rancangan. Terima kasih, lain kali boleh jemput lagi ye!

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.