Selamat Datang!

Buat pertama kalinya dalam sejarah, SKUB didatangi oleh dua guru pelatih dari Institut Perguruan Kampus Raja Melewar, Seremban. Mereka ialah Cikgu Juhaida binti Che Hasim dan Cikgu Berlinda Julan Anak Bennet yang bakal menjadi guru Bahasa Inggeris pada masa akan datang. Semoga mereka dapat menimba pengetahuan dan pengalaman yang berharga sepanjang menjalani latihan praktikal di sini. Sementara itu, Cikgu Norlinda telah selamat melahirkan anak lelaki yang keempat dan kini sedang bercuti. Tempat beliau digantikan sementara oleh Cikgu Nurul Fazni binti Mohd Noh. Mudah-mudahan Cikgu Nurul juga dapat menjalankan tugas dengan jayanya.

KUIZ MALAYSIA MERDEKA

Para pelajar bersedia untuk menjawab soalan-soalan kuiz.

Guru-guru juga sudah bersedia untuk memulakan pertandingan.


Guru-guru yang memberikan sokongan terhadap anak-anak didik mereka.



Persembahan pelajar yang menonjolkan perpaduan antara kaum.


Persembahan oleh para pelajar pra sekolah.


Bersempena bulan kemerdekaan yang lalu, SKUB telah menganjurkan Kuiz Malaysia Merdeka pada 20 September 2011. Program ini dirangka sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan rasa kecintaan para pelajar terhadap tanah air. Informasi yang diperoleh sepanjang kuiz dijalankan sedikit sebanyak dapat membekalkan ilmu pengetahuan terhadap sejarah kemerdekaan dan pembangunan negara di kalangan mereka. Bagi Kuiz Malaysia Merdeka edisi pertama ini telah dimenangi oleh rumah Biru dan diikuti oleh rumah Hijau dan rumah Merah. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar dan guru yang terlibat!

RINDU 2

Sebelum bermulanya UPSR, pihak sekolah telah mengadakan program RINDU buat tahun kedua sebagai persiapan rohani bagi calon-calon UPSR. Program RINDU (Restu Ilahi dan Doa Untuk Cemerlang) ini diisi dengan aktiviti solat Maghrib dan Isya' secara berjemaah, solat hajat dan bacaan surah Yasin. Semoga dengan usaha ini dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT di samping mendekatkan diri kita kepadaNya dalam mencari keredhaanNya untuk mencapai kejayaan.



UPSR TELAH BERAKHIR, KE MANA KITA?

Tanggal 13, 14 dan 15 September 2011 yang lalu telah menjadi saksi kesungguhan dan keupayaan anak-anak didik tahun 6 SKUB mengharungi liku-liku perjuangan menghadapi peperiksaan UPSR. Pelbagai reaksi yang diperoleh daripada mereka namun harapan masih sama, iaitu untuk meraih keputusan yang cemerlang. Justeru, marilah kita bersama-sama meneruskan doa dan tawakkal kepada Allah SWT agar diberikan kejayaan yang gemilang kepada semua graduan UPSR 2011. Anda pasti boleh, insya Allah!


Sekadar gambar hiasan.

KEMBALI BERAKSI

Sudah sekian lama blog ini tidak dikemaskini. Mohon maaf atas kelemahan diri. Mungkin disebabkan Facebook lebih mudah diaplikasi. Namun kini sudah kembali beraksi. Ayuh semua sama-sama kita tatapi.

SELAMAT DATANG KE LAMAN SK ULU BENDUL

BERSAMA-SAMA MENUJU KEJAYAAN. KECEMERLANGAN UNTUK SEMUA.